COVID-19: Pembelajaran atas talian suatu keperluan ke arah menuju Malaysia maju
Pelaksanaan pembelajaran atas talian telah lama dipraktikkan di negara-negara maju kerana ia dipercayai mampu memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan.
Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak COVID-19, kaedah pembelajaran atas talian merupakan suatu keperluan.
Kebanyakan universiti tempatan baik awam mahupun swasta termasuk sekolah-sekolah di Malaysia tiada pilihan lain dengan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya bagi memastikan silibus pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi pembelajaran tidak ditangguhkan.
Terdapat pelbagai jenis platform pembelajaran digital yang berpotensi dan mempunyai banyak ruang untuk dieksplorasi seperti Blackboard, Edmodo, Google Classroom dan ClassDojo. Melalui platform yang tersedia, kaedah hybrid pengajaran dan pembelajaran boleh disediakan melalui kaedah sistem pengurusan pembelajaran seperti Docebo, Udemy, Skillshare, WizIQ, Adobe Captivative Prime, dan SAP Litmos.
Bagi memastikan kaedah pembelajaran atas talian yang berkesan, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira seperti pembinaan kawalan persekitaran, kepentingan interaksi secara interaktif, latihan yang efektif dan berkesan, akses capaian teknologi yang maksimum, tahap piawaian yang standard, jaminan kualiti sumber yang tidak terhad, penentangan terhadap perubahan semasa dan teknologi, permasalahan berkaitan harta intelektual dan hak cipta serta sokongan institusi pendidikan yang menjalankan kaedah pembelajaran atas talian.
Justeru, setiap pendidik harus memperkenalkan apparatus dan metodologi yang dapat membantu meningkatkan kualiti proses pembelajaran dengan menyediakan informasi yang berguna tentang pelajar dan aktiviti yang telah dijalankan oleh mereka dalam sistem pembelajaran atas talian.
Selain itu juga, pendidik dan juga institusi yang menjalankan kaedah pengajaran dan pembelajaran atas talian perlu memastikan bahawa rangkaian sosial adalah boleh dipercayai dan mampu untuk mengukur prestasi akademik sebenar selain memastikan jaringan keselamatan yang terkawal agar tiada isu kebocoran maklumat yang tidak wajar.
Tidak dapat dinafikan melalui kaedah pembelajaran atas talian banyak manfaat yang boleh didapati. Pengajaran atas talian membolehkan proses pembelajaran yang dilaksanakan tanpa mengira jarak dan bilangan ahli yang melayarinya.
Selain itu, pelajar juga dapat melalui proses pembelajaran yang berterusan di samping berupaya menyampaikan pengetahuan dengan lebih berkesan.
Fasiliti dan infrastruktur untuk diskusi atas talian dan bantuan pengajaran untuk isi kandungan juga dapat disediakan sebagai pendekatan kepada pendidikan.
Di samping itu, latihan dan maklumat yang lebih berstruktur dan bersepadu dapat diselaraskan. Demi memastikan pendidik kekal relevan dan dinamik dalam menyampaikan ilmu secara atas talian terdapat beberapa laman web yang menawarkan kurus dan pembelajaran atas talian bagi meningkatkan pemahaman dan kualiti pengajaran seperti EPSA, Coursera, EDX, dan Futurelearn.
Melalui platform yang diperkenalkan pengajar juga boleh berinovasi dalam penyediaan platform kaedah pengajaran dan penyampaian maklumat yang lebih sistematik dan efisien.
Justeru, beberapa pensyarah rentas fakulti di bawah kumpulan Entiti Kecemerlangan Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka melalui kerjasama industri dan institusi pengajian tinggi luar negara telah membangunkan pelbagai platform digital mesra pelajar dan interaktif bagi subjek Ekonomi dan Keusahawanan di bawah seliaan penulis dan rakan. Inovasi yang dihasilkan telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa seperti Korea Selatan, Kanada dan Taiwan.
Melalui kajian yang dilakukan oleh Vanderbilt University di Amerika Syarikat pada tahun 2015 mendapati bahawa hampir 92% responden yang terdiri dari pelajar pelbagai bidang dan fakulti bersetuju bahawa pembelajaran secara atas talian adalah lebih efektif dan berkesan berbanding pengajaran dan pembelajaran secara konvensional.
Manakala hampir 3% dari bilangan keseluruhan responden masih memerlukan kaedah pengajaran dan pembalajaran secara bersemuka, dan baki hampir 5% responden adalah neutral. Ini menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran atas talian adalah pilihan pelajar masa kini.
Walaubagaimanapun, setiap pendidik harus mengambil kira beberapa faktor yang perlu dilalui oleh realiti kebanyakan pelajar di iaitu bukan semua pelajar mempunyai akses capaian internet yang baik, masih ada di kalangan pelajar yang tinggal di pedalaman, pelajar yang berada di rumah di sepanjang tempoh PKP perlu membantu ibu-bapa menguruskan aktiviti harian, kediaman yang tidak selesa, serta kemudahan telefon pintar dan aksesori berkaitan bukan canggih dan terkini.
Justeru, pendidik perlu bijak menangani isu tersebut secara berhemah. Setiap pendidik perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan di sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, serta matlamat utama pembelajaran secara holistik dan inklusif tercapai.
____________________________________________________________________________________
*Mohamad Idham Hj. Md Razak merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Jasin
**Artikel ini merupakan pandangan profesional penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.