Rakyat resah melihat percaturan politik negara

Menjadi tanggungjawab rakyat untuk menghormati dan menjunjung keputusan yang dibuat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara merangkap penjaga Perlembagaan Persekutuan. – Gambar hiasan

PERSIDANGAN Dewan Rakyat,  Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga yang dijadualkan berlangsung selama 25 hari bermula dari 13 Julai sehingga 27 Ogos depan bukan sahaja akan mencuri perhatian rakyat Malaysia, malah pemerhati politik dari seluruh dunia.

Tidak pernah dalam sejarah politik negara, dikemukakan usul tidak percaya ke atas mana-mana Perdana Menteri semasa (sitting Prime Minister).

Namun, rakyat pernah menyaksikan kes undi tidak percaya dibicarakan di mahkamah sivil, iaitu luar Dewan Undangan Negeri, terhadap Ketua  Menteri di Sarawak pada tahun 1966 dan Ketua Menteri Sabah pada tahun 1995.

Paling akhir terhadap Menteri Besar Perak pada tahun 2010.
      
Usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka diperbahaskan dalam sesi mesyuarat akan datang.

Sekiranya usul tersebut berjaya dibahaskan dan pengundian dilakukan, keputusan pengundian itu akan menjadi titik penentu terhadap jangka hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepimpinan Muhyiddin yang dibentuk pada 1 Mac 2020.

Timbul spekulasi

Dalam pada itu, sementara menunggu  keputusan pengundian usul tidak percaya tersebut, pelbagai spekulasi timbul dalam medan politik negara dan antaranya kemungkinan berlakunya pembubaran Parlimen untuk mengadakan pilihan raya tergempar (snap election) dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, rakyat menyaksikan pergolakan politik di beberapa negeri  yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terbentuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kerajaan negeri yang jatuh tiba-tiba  daripada PH ke tangan PN adalah kerajaan negeri yang terbentuk dengan undi majoriti tipis sejurus PRU-14.

Sebagai contoh, pada PRU-14, PH dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memperolehi 18 kerusi daripada 36 kerusi DUN di Kedah; BN mendapat 29 kerusi dan bukan BN termasuk Warisan dengan 29 kerusi daripada jumlah 60 kerusi di Sabah; PH mendapat 29 kerusi dan BN dengan 27 kerusi daripada jumlah 59 kerusi di Perak.

Selain itu PH mendapat 20 kerusi dan BN dengan 16 kerusi di Negeri Sembilan; PH mendapat 36 kerusi dan BN dengan 20 kerusi daripada jumlah 56 kerusi di Johor, PH mendapat 15 kerusi dan BN dengan 13 kerusi daripada jumlah 28 kerusi di Melaka.

Perbezaan tipis dalam bilangan kerusi  antara PH dan BN menyebabkan berlakunya kesukaran bagi PH dan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Dalam situasi ini, PH berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis apabila beberapa ahli DUN  daripada BN atau bebas bertindak menyertai atau menyokong PH pada PRU-14.

Perubahan kerajaan Kedah, Melaka, Perak dan Johor berlaku ekoran beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PH meninggalkan  parti mereka dan menyertai PN atau keluar daripada PH dan mengisytiharkan diri sebagai ahli bebas.

Tindakan melompat parti segelintir ahli DUN dalam negeri-negeri tersebut menyebabkan PH hilang majoriti untuk mempertahan kuasa mereka sekali gus membuka jalan kepada PN untuk memerintah.

Sindrom melompat

Sindrom melompat parti yang berlaku di peringkat negeri baru-baru ini diandaikan akan turut meresapi sebilangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Menjelang tempoh mengemukaan usul undi tidak percaya, beberapa ahli Dewan Rakyat dikhabarkan akan melompat dari parti asal mereka ke parti-parti yang menawarkan ganjaran menarik dan lumayan.

Fenomena lompat-melompat dijangka berterusan sehingga berlangsung sidang Parlimen kelak.
 
Sehubungan itu, polemik terhadap keabsahan lantikan Perdana Penteri Malaysia kelapan tidak akan berkesudahan.

Ada yang menzahirkan pendapat bahawa isu absahan terhadap lantikan Muhyiddin tidak harus timbul kerana beliau dilantik sebagai Perdana Menteri  bersandarkan Perkara 43 (3) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Malaysia malah berteraskan lunas-lunas demokrasi berparlimen yang menjadi amalan Malaysia sejak merdeka.

Sebaliknya, ada pihak yang mendakwa Muhyiddin tidak memperolehi sokongan daripada wakil rakyat yang mencukupi bagi beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Apakah penyelesaian? 

Parti-parti utama yang membentuk kerajaan PN dikesan bersedia menghadapi pilihan raya tergempar  bagi merungkai isu-isu yang masih menghantui pemikiran sebahagian besar rakyat terhadap pelantikan kerajaan semasa.

Sekiranya pilihan raya tergempar  diadakan dalam masa yang terdekat, pengundi Melayu yang mencakupi lebih 60 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar keseluruhannya dijangka menghadapi kesulitan untuk memilih wakil-wakil mereka.

Keadaan ini berlaku kerana parti-parti yang mewakili kepentingan orang Melayu dikesan berpecah belah  kepada beberapa parti yang jelas akan bertarung sesama sendiri bagi merebut undi orang Melayu.

Pengundi bukan Melayu pula dijangka memilih calon-calon daripada parti-parti yang bertanding bersandarkan pengalaman politik mereka sejak PRU-14.

Dalam konteks ini, dapat dilihat bahawa pola pemikiran politik pengundi India didapati semakin berubah sejak PRU-14.

Rata-rata mereka kecewa dan muak dengan pergolakan, percaturan dan permainan politik yang berlaku sejak PRU-14.

Pengundi India yang meminggirkan diri daripada MIC sejak PRU-12, kini jelas kelihatan balik ke pangkal jalan kembali menyokong MIC di bawah kepimpinan Tan Sri Vigneswaran.
  
Sebahagian besar rakyat berharap alangkah baiknya kerajaan pimpinan Muhyiddin mentadbir negara sehingga masa mengembalikan mandat memilih kerajan mengikut citarasa mereka pada PRU-15.

Bahkan, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menghormati dan menjunjung keputusan yang dibuat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, selaku ketua negara merangkap  penjaga Perlembagaan Persekutuan.


* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.