Pelaksanaan PKP untuk jaga kesihatan rakyat

Ketika negara masih berdepan dengan masalah ini, ada sebilangan kecil rakyat yang merungut PKP menyusahkan kehidupan mereka. – Astro AWANI/SHAHIR OMAR

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac dalam negara dilanjutkan sehingga 14 April 2020 yang meliputi 42 hari.

Meskipun rakyat tertekan, terutamanya golongan yang terlibat dalam perniagaan kecil dan sederhana, kerajaan terpaksa melanjutkan tempoh PKP bagi mengelakkan risiko orang awam dijangkiti COVID-19 daripada kes sporadik atau orang awam yang tak sedar mereka dijangkiti virus berkenaan.

Pihak kerajaan juga terdesak untuk melanjutkan PKP demi memastikan nyawa rakyat tidak terancam akibat wabak COVID-19.

Malah, pelanjutan PKP adalah selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengesa semua untuk tidak menarik balik PKP di negara masing-masing sehingga ancaman wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.

Meskipun penularan wabak COVID-19 dalam negara didapati agak terkawal dengan usaha mantap yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penularan wabak itu masih berada dalam peringkat pertengahan dan berkemungkinan besar kebolehjangkitan terus berlaku daripada kes sporadik sekiranya PKP ditamatkan sebelum dibendung sepenuhnya.

Keprihatinan kerajaan terhadap kesihatan rakyat terserlah apabila kerajaan sanggup melanjutkan tempoh PKP sehingga awal bulan Ramadan.

Bermula 24 April 2020, bersamaan dengan 1 Ramadan 1441, seluruh umat Islam di negara ini akan mula menunaikan ibadah puasa yang merupakan salah satu Rukun Islam.

Masyarakat Kristian telah menyambut Good Friday pada 10 April yang lalu dan tidak hadir beramai-ramai di gereja untuk menyambut hari mulia mereka demi menghormati langkah kerajaan.

Malah masyarakat Tamil yang menyambut Tahun Baharu Tamil pada 14 April juga tidak akan bersembahyang di kuil-kuil, sebaliknya menyambut tahun baharu di rumah sahaja.

Tunjuk hasil

Perlu disedari, PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu telah menunjukkan hasil yang baik atau berjaya menyekat penularan COVID-19 dengan lebih luas malah mengekalkan jumlah jangkitan kes baharu dalam lingkungan 100 sehingga 150 kes sehari.

Menurut unjuran KKM, pelaksanaan PKP telah banyak menyumbang dalam pengurangan jumlah kumulatif kes positif COVID-19.

Dalam pada itu, peratusan kadar kematian daripada jumlah kumulatif kes jangkitan juga dilaporkan hanyalah 1.58 peratus berbanding antara 4.6 sehingga 11.7 peratus di beberapa negara lain.

Malah, 62 peratus kes jangkitan berjaya dirawat dan 41 peratus kes berjaya disembuh dan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut KKM, kerajaan berjaya mengawal penularan jangkitan COVID-19 kepada 7 peratus, berbanding kadar penanda aras (benchmark) 10 peratus yang ditetapkan oleh WHO.

Kejayaan usaha pembendungan wabak COVID-19 dalam tempoh yang agak singkat kerana pengenalan kepada PKP tepat pada masanya dan juga pengorbanan barisan hadapan yang merangkumi warga KKM, perubatan swasta, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan yang lain serta para sukarelawan.

Lengkungan kes jangkitan COVID-19 yang semakin mendatar memperlihatkan wabak ini dalam negara semakin dapat dibendung dan dikawal selain tidak seperti yang sedang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Itali dengan masalah penularan yang begitu tinggi.

Ketika negara masih berdepan dengan masalah ini, ada sebilangan kecil rakyat yang merungut PKP menyusahkan kehidupan mereka.

Golongan peniaga, baik kecil atau besar, pemilik kedai warung dan kedai makan mendakwa bahawa pelaksanaan PKP telah menjejaskan perniagaan dan pendapatan mereka.

Golongan pekerja berpendapatan rendah turut merungut kerana kehilangan punca rezeki untuk menanggung keluarga.

Lantaran daripada keluhan rakyat, khasnya golongan B40, kerajaan menunjukkan keprihatinan dengan meluluskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Bantuan yang menelan kos berbilion ringgit itu dilancarkan bagi membantu lapisan rakyat sewajarnya.

Di samping itu, kerajaan juga peka terhadap kesulitan yang dihadapi golongan yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerajaan sememangnya sedar akan kepentingan berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia,  Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) menyumbang 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bernilai RM521.7 bilion daripada jumlah keseluruhan KDNK negara yang bernilai RM1.36 trilion pada 2018.

Aktiviti SME lebih tertumpu kepada sektor perkhidmatan yang menyumbang hampir 63 peratus berbanding sektor pembuatan.

Sektor pembuatan pula menyumbang sebanyak 20 peratus, sektor pertanian (10 peratus) dan pembinaan (6 peratus).

Malah, nilai eksport perusahaan kecil dan sederhana adalah hampir RM171.9 bilion pada tahun 2018.

Oleh yang demikian, kerajaan sedang meneliti permintaan daripada beberapa sektor untuk bidang SME beroperasi secara berperingkat berdasarkan garis panduan penjagaan kesihatan yang ditetapkan KKM.

Antara sektor ekonomi  yang disebut-sebut akan dibenarkan adalah industri automotif, perkakasan dan alat gantian, sektor pembinaan dan kedai peralatan elektrik.

Pelanjutan PKP bagi tempoh masa yang agak panjang adalah satu keputusan baik kerana  sebulan tidak mencukupi untuk membendung wabak ini.

Negara-negara yang memandang serong keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan PKP pada asalnya kini menyambut baik tindakan Malaysia malah melaksanakan PKP di negara masing-masing.

Sehubungan itu, pemimpin-pemimpin politik, tanpa mengira ideologi atau perbezaan politik, sama ada parti pemerintah atau pembangkang perlu menggesa ahli-ahli dan penyokong mereka untuk mematuhi PKP malah membantu golongan yang memerlukan bantuan keperluan asas dalam tempoh masa PKP.

Presiden MIC, Tan Sri SA.Vigneswaran juga menyeru komuniti India supaya mematuhi PKP dengan tegas malah menyeru pemimpin-pemimpin MIC di peringkat akar umbi untuk membantu golongan yang memerlukan kebenaran  pihak berkuasa, tanpa mengira kaum atau agama dalam tempoh masa PKP.

Beliau juga mengesa komuniti India umtuk menerapkan budaya baharu (new norms) yang disarankan KKM serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mengelak daripada berjabat tangan, kerap mencuci tangan, penjarakan sosial setiap masa dalam usaha menyelamatkan mereka daripada dijangkiti COVID-19.

Rakyat seharusnya menyokong tindakan kerajaan, kepimpinan Muhyiddin yang bijak melaksanakan tindakan termasuk PKP yang  jelas mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat.


*Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.