Serangan di sempadan oleh Taliban Pakistan bunuh 7

Kumpulan Taliban Pakistan menyerang tentera semasa operasi menentang pemberontak di sempadan dengan Afghanistan pada Isnin, mencetuskan tembak-menembak yang menyebabkan kematian seorang major tentera, seorang pegawai junior dan lima militan, kata tentera dan jurucakap militan.

Tembak-menembak itu berlaku di daerah Zhob di wilayah Baluchistan, kata tentera dalam kenyataan.

Taliban Pakistan dalam kenyataan mengaku bertanggungjawab menyerang tentera itu.

Taliban Pakistan dikenali sebagai Tehrik-e-Taliban Pakistan atau TTP, dan bersekutu dengan Taliban Afghanistan, yang pada Ogos 2021 merebut Afghanistan ketika tentera AS dan NATO berada dalam peringkat akhir penarikan mereka dari negara itu selepas 20 tahun perang.

Penaklukan Taliban ke atas Afghanistan telah memberi semangat kepada Taliban Pakistan, yang telah meningkatkan serangan terhadap polis dan tentera di seluruh negara, termasuk Baluchistan.

TTP juga menikmati sokongan daripada kumpulan pemisah tempatan yang juga telah melancarkan pemberontakan tahap rendah selama lebih daripada dua dekad. Nasionalis Baluchi pada mulanya mahu bahagian sumber wilayah yang lebih besar, tetapi kemudian pemberontakan mereka berubah menjadi perjuangan untuk merdeka daripada kerajaan di Islamabad.

Walaupun pihak berkuasa Pakistan mengatakan mereka telah memadamkan pemberontakan, keganasan terus berlaku.