6 maut, 38 cedera di Mumbai selepas api melalap bangunan kediaman 6 tingkat

Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan 38 lagi cedera di Mumbai selepas api melalap bangunan kediaman enam tingkat

Lapan enjin bomba mengambil masa tiga jam untuk memadamkan kebakaran di daerah Goregaon Barat, kata pegawai bomba Ashok Tarapade. Kerja menyelamat telah selesai dan yang cedera telah dibawa ke dua buah hospital, tambahnya.

Laporan media berkata kebakaran bermula di beberapa kedai di tingkat bawah dan asap meliputi beberapa tingkat. Punca kebakaran sedang disiasat.

Bangunan itu dibina pada 2006 untuk menempatkan orang yang dipindahkan dari kawasan setinggan di Mumbai dan ia tidak mempunyai kelengkapan pemadaman kebakaran yang secukupnya, akhbar Hindustan Times memetik Ketua Pegawai Bomba Ravindra Ambulgekar sebagai berkata.

Asap merebak di bangunan melalui saluran lif, katanya.

Kebakaran adalah perkara biasa di India, di mana undang-undang dan norma keselamatan bangunan sering dilanggar oleh pemaju dan penghuni.

Pada 2022, kebakaran besar di sebuah bangunan komersial empat tingkat di New Delhi telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa. Pada 2019, kebakaran akibat litar pintas elektrik telah melalap sebuah bangunan di New Delhi dan membunuh 43 orang.