3 mati, 10 diselamatkan di pulau Greek selepas bot pelarian tenggelam
Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas sebuah bot pelarian tenggelam di luar pantai sebuah pulau timur Yunani Isnin telah dijumpai hidup, kata pihak penyelamat pantai Yunani.
Mayat seorang wanita dan dua lelaki telah dijumpai sebelum ini dari laut selepas bot pelarian itu tenggelam semalam di luar pantai pulau kecil Symi, yang terletak berhampiran Turki.
Mangsa yang diselamatkan memberitahu pihak berkuasa bahawa bot itu membawa seramai 13 orang. Walaupun tiada lagi mangsa dilaporkan hilang, pihak penyelamat pantai berkata mereka akan teruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan itu selama beberapa jam sebagai langkah berjaga-jaga sehingga semua keterangan mangsa yang diselamatkan selesai.
Yunani terletak di salah satu laluan penyeludupan yang paling popular bagi mereka yang melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan di Timur Tengah, Afrika dan Asia untuk memasuki Kesatuan Eropah.
Ramai menggunakan bot kecil untuk bergerak dari Turki ke pulau-pulau Yunani berhampiran pantai Turki manakala yang lain menggunakan bot layar, yacht atau kapal nelayan yang lebih besar untuk melakukan perjalanan yang lebih jauh dari sama ada Turki atau Afrika Utara ke Itali, dengan mengelakkan Yunani.