Ukraine gali 600 kubur
KIEV: Pihak berkuasa tempatan Dnipro di Ukraine menggali 600 kubur sebagai persediaan awal menangani kes Covid-19.
Langkah itu dilaksanakan di bandar itu meskipun setakat ini, hanya 13 kes Covid-19 dilaporkan dan belum ada mangsa meninggal dunia.
Datuk Bandar Borys Filatov menerusi hantaran di Facebook berkata, tindakan itu sebagai peringatan kepada penduduk berhubung penularan virus maut terbabit.
Susulan itu katanya, warga bandar dengan populasi satu juta orang itu perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan penjarakan sosial.
“Kami bersedia menghadapi situasi paling buruk. Bukan 400, tetapi 600 kubur digali di tanah perkuburan berdekatan bandar untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sebanyak 1,000 beg plastik tebal dibeli untuk menyimpan mayat,” tulis Filatov.
Jurucakap kepada Datuk Bandar, Yulia Vitvitska, mengesahkan kepada AFP pihaknya menggali 615 kubur.
Pihaknya juga menyiapkan 2,000 beg mayat sebagai persediaan menampung peningkatan jumlah mangsa akibat wabak itu.
Selain itu, pekerja perubatan dilarang melakukan bedah siasat kepada mayat mangsa.
Sementara itu, foto kubur yang baru digali itu tular di media sosial.
Ada berpendapat tindakan itu sengaja menakut-nakutkan dan menimbulkan panik dalam kalangan orang awam.