Tiada kematian baru di China

Beijing: Buat pertama kali, China memaklumkan tiada kematian baharu akibat wabak Covid-19 sejak negara itu mengumumkan kematian bermula Januari lalu, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

Kes di Tanah Besar China mulai turun sejak Mac lalu, bagaimanapun negara berdepan gelombang kedua jangkitan dari luar negara, yang mana pegawai kesihatan melaporkan hampir 1,000 kes import dilaporkan.

Pihak berkuasa kesihatan China melaporkan, terdapat 32 kes baharu Covid-19, dan semuanya adalah kes import.

Terdapat 30 jangkitan tanpa gejala, kata pegawai itu menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 1,033 kes.

Kira-kira satu perempat daripada jumlah kes tanpa gejala juga kes import, iaitu jangkitan dari luar negara.

Minggu lalu, China mula mendedahkan beberapa kes tanpa gejala buat pertama kali, selepas masyarakat membangkitkan mengenai ‘pembawa senyap’ yang berpotensi menyebarkan virus itu.

Sehingga kini sebanyak 81,740 kes dan 3,331 kematian dilaporkan di China dengan kebanyakan dari Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.

Angka global pula mencatatkan lebih 70,000 kematian dengan Eropah dan Amerika Syarikat terjejas teruk akibat pandemik itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19