Syukur bayi 460g semakin membesar

DUBAI: Seorang bayi perempuan yang dilahirkan ketika usia kandungan ibunya mencecah enam bulan dibenarkan pulang ke rumah pada Khamis selepas menerima rawatan dan pemantauan selama tiga bulan di hospital swasta.

Bayi perempuan itu dilahirkan sebesar 11 inci dan berat 460 gram (g).

Bayi comel yang beri nama Leia itu adalah anak kedua pasangan Anisha dan Nizar kini sudah mencecah berat 2.5 kilogram (kg) selepas dipantau pasukan pakar kanak-kanak di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Parkview.

Gulfnews.com melaporkan Anisha berkata, dia tidak dapat melupakan detik kelahiran anaknya yang bersaiz sangat kecil pada 11 Mac lalu namun bersyukur anak keduanya itu mampu berjuang dan semakin membesar.

“Saya masih tidak dapat lupa betapa kecilnya dia ketika dilahirkan. Pada masa itu, bukan saiz yang menjadi ukuran, tetapi bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan selepas ini,” katanya.

Anisha yang berasal dari India berkahwin dengan seorang warga Lubnan pada mulanya datang ke hospital berkenaan selepas dia mengalami demam dan jangkitan kuman pada 8 Mac lalu namun tidak menyangka akan melahirkan bayi pramatang.

“Kami terpaksa meninggalkan anak sulung yang berusia dua tahun bersama keluarga di rumah namun memaklumkan tidak tahu bila akan dapat pulang semula ke rumah.

“Saya menerima rawatan di hospital selama lima hari sebelum dikejarkan ke bilik bersalin dan melahirkan Leia pada hari keempat,” katanya.

Bagi Nizar, doktor memaklumkan ini pengalaman tidak dijangka dan bertuah kerana dikelilingi mereka yang positif sehingga memudahkan banyak perkara yang sukar.

Sementara itu, perunding dan pakar pediatrik hospital berkenaan, Dr Mudit Kumar berkata, Leia dilahirkan pada minggu ke-24 kandungan iaitu 16 minggu lebih awal.