Sri Lanka dan Maldives bebas campak dan rubela

Colombo: Campak dan rubela berjaya dihapuskan dari Sri Lanka dan Maldives selepas beberapa dekad pelaksanaan program imunisasi, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Berita ini yang tiba ketika seluruh dunia bergelut dengan pandemik Covid-19 membuktikan bahawa kejayaan ini boleh dicapai dengan kerjasama banyak pihak,” kata Pengarah Serantau WHO, Khetrapal Singh dalam kenyataan.

Maldives merekodkan kes terakhir bagi campak pada 2009 dan rubela pada Oktober 2015.

Manakala, Sri Lanka mencatatkan kes terakhir bagi campak dan rubela masing-masing pada Mei 2016 dan Mac 2017.

Tidak ada sebarang bukti berlakunya transmisi kedua-dua virus itu dalam tempoh tiga tahun dengan adanya sistem pengawasan yang berfungsi dengan baik, kata WHO.

Bhutan, Korea Utara dan Timor Timur turut disahkan bebas penyakit campak.

Pengisytiharan itu dibuat di saat beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS) berdepan wabak campak.

Gerakan antivaksin di AS dan beberapa negara lain mengakibatkan peningkatan kes selain pelbagai teori konspirasi tersebar di media sosial.

WHO berkata, pandemik Covid-19 mengganggu sistem penjagaan kesihatan di Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk program imunisasi.