Rumah usahawan tekstil dirompak

Jawa Barat: Seramai 20 lelaki bersenjatakan pedang samurai merompak rumah milik usahawan tekstil terkemuka di Ciawigebang, Kuningan, di sini, awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, perompak berkenaan turut mengunci enam penghuni rumah berkenaan.

Kompas melaporkan, kejadian berkenaan adalah rompakan kedua berlaku di Kuningan yang mensasarkan kediaman mewah dan orang kaya di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ciawi Gebang, Jawa Barat, Yayat Hidayat enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai kejadian, dan jumlah kerugian yang dialami mangsa. Bagaimanapun sumber Kompas berkata, kumpulan penjenayah berkenaan didapati mengetahui situasi sekitar rumah dan keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.

“Jalan raya di kawasan ini ditutup pada 4 petang dan dibuka semula pada 1 pagi kerana perintah berkurung akibat Covid-19.

“Kejadian rompakan ini berlaku pada 2 pagi iaitu selepas sejam jalan itu kembali dibuka,” kata seorang lelaki yang tinggal di hadapan rumah usahawan berkenaan.

Kumpulan berkenaan didapati tahu mengenai selok-belok rumah mewah itu apabila memecah masuk melalui pintu belakang kediaman terbabit.

Pintu hadapan rumah itu mempunyai beberapa pengawal keselamatan, malah perompak juga mengetahui di mana jutawan terbabit menyimpan emas dan wang bagi keperluan sambutan Aidilfitri kelak.