Roket Musk hantar dua angkasawan AS

Miami: Dua angkasawan Amerika Syarikat, Doug Hurley dan Bob Behnken berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), semalam, dengan menaiki roket SpaceX Falcon 9, semalam.

Ia melakar sejarah apabila buat pertama kalinya angkasawan menaiki roket yang dibangunkan oleh syarikat persendirian, milik hartawan terkenal, Elon Musk

Selain itu, ia adalah misi pertama ke angkasa lepas dilancarkan dari AS dalam tempoh sembilan tahun.

Bloomberg melaporkan, dua angkasawan berkenaan menaiki roket yang dilancarkan Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida pada 3.22 petang (waktu tempatan).

Perjalanan ke orbit mengambil masa selama 19 jam dan mereka berdua dijangka tiba pada jam 10.30 pagi.

Kira-kira 10 juta individu menonton secara langsung pelancaran roket berkenaan.

Selain Musk, detik bersejarah itu turut disaksikan Presiden AS, Donald Trump yang datang ke Florida untuk menyaksikan pelancarannya.

“Jauh lagi perjalanan mereka dan bahaya adalah sebahagian yang menanti di sana.

“Saya amat berbangga dengan mereka, NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dan semuanya.

“Kesempatan melihatnya adalah sesuatu yang menakjubkan tetapi anda dapat bayangkan betapa bahayanya apabila mendengar bunyinya,” katanya.

Sebelum ini, AS menghentikan misi untuk menghantar angkasawan menggunakan roketnya, pada 2011.

Sejak itu, angkasawan negara itu akan menumpang roket Rusia, Soyuz untuk misi angkasa lepasnya.