Ramai hilang pekerjaan di Indonesia

LEBIH 1.2 juta pekerja hilang pekerjaan di Indonesia susulan impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19, kata Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah.

Memetik kenyataannya di media tempatan hari ini, Ida Fauziyah berkata, statistik itu berdasarkan kemaskini kementeriannya kelmarin, selepas 39,377 syarikat atau perusahaan terpaksa memberhentikan pekerja mereka atau diberi cuti tanpa gaji akibat kerugian atau kegagalan beroperasi.

Sejak kes kematian akibat Covid-19 pertama dicatatkan pada 11 Mac lalu, aktiviti ekonomi di Indonesia semakin merudum susulan langkah kawalan dalam menangani pandemik itu.

Sejak 16 Mac, kerajaan Indonesia mengambil pendekatan secara berperingkat seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, tempat hiburan, larangan kemasukan pelancong luar dan pelaksanaan pembatasan sosial berskala besar.

Pandemik Covid-19 juga memberi kesan buruk kepada golongan berpendapatan harian seperti peniaga makanan, hampir dua juta pemandu perkhidmatan e-hailing dan golongan pekerja bawahan yang kini menghadapi kesukaran mencari pendapatan.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Retno Marsudi berkata, rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara, juga kini semakin ramai kembali ke tanah air, antaranya akibat kehilangan pekerjaan.

“Rakyat Indonesia yang pulang dari Malaysia saja, sejak 18 Mac hingga 8 April lalu, adalah seramai 40,429 orang,” katanya

Menteri Kewangan, Sri Mulyani, dilaporkan berkata, mata wang rupiah juga kini mengalami kejatuhan teruk berbanding krisis ekonomi 1998, dan dibimbangi menjunam kepada Rp20,000 per satu dolar Amerika Syarikat (AS$).

Tukaran mata wang rupiah ketika ini adalah Rp17,500 per satu dolar AS dan ketika krisis ekonomi 1998, nilai terendah rupiah direkodkan pada Rp16,950 per satu dolar AS.