Rakyat China serbu Disneyland Shanghai
Shanghai: Shanghai Disneyland dibuka semula hari ini selepas ditutup sejak lebih tiga bulan akibat Covid-19.
AFP melaporkan, pengurusan taman tema berkenaan mengambil langkah keselamatan dengan mengehadkan bilangan pengunjung.
Pengunjung juga perlu membuat tempahan awal, menjalani pemeriksaan suhu dan menunjukkan kad QR kerajaan sebagai bukti tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum dibenarkan masuk.
Alat pembesar suara turut dipasang bagi memberi peringatan kepada pengunjung supaya memakai pelitup muka sepanjang masa dan mematuhi arahan penjarakan sosial termasuk ketika beratur dan bermain.
Kakitangan bertugas juga memainkan peranan membantu pengunjung mengekalkan jarak sosial dengan satu sama lain.
Poster dan garisan kuning diletakkan dilekatkan di lantai sebagai petunjuk di mana pengunjung sepatutnya berdiri.
Biarpun ada kebimbangan terhadap penularan jangkitan baharu, tiket untuk hari pertama pembukaan semula taman tema habis terjual dalam beberapa minit, ketika dijual Jumaat lalu.
Salah seorang pengunjung dikenali Kitty mengakui teruja menanti pembukaan semula hari pertama bagi melihat perbezaan berbanding sebelum ini walaupun masih banyak kawasan yang ditutup.
“Rasa cukup bosan kerana sudah dua bulan kami duduk di rumah,” katanya yang datang ke taman tema berkenaan dengan anak perempuannya berumur lima tahun.
Disneyland Shanghai ditutup pada akhir Januari, diikuti taman tema Disneyland lain di Amerika Syarikat, Perancis, Jepun dan Hong Kong.