Rakam 305 ‘aksi’ bersama kanak-kanak
Jakarta: Polis mendedahkan kebanyakan mangsa cabul dan penderaan seksual lelaki Perancis yang ditahan, bulan lalu adalah kanak-kanak jalanan.
Ketua Polis Jakarta, Jeneral Inspektor Nana Sudjana berkata, suspek, Francoise Camille Abello atau Frans ditahan di Hotel PP di Taman Sari terletak di Jakarta Barat.
“Kami menahannya ketika dia berada di hotel bersama dua budak bawah umur, seorang sudah bogel dan seorang lagi separuh bogel. Dia segera dibawa ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media seperti dilapor Kompas.com pada Khamis.
Frans, 65, seorang pesara, didakwa mencabul sekurang-kurangnya 305 budak bawah umur, majoritinya adalah kanak-kanak jalanan.
Nana berkata, pihaknya sudah mengesan 17 identiti mangsa yang berusia 10 hingga 17 tahun.
Katanya, Frans biasanya mendekati mangsa dengan memberitahu dirinya jurugambar profesional yang mencari model cilik.
“Dia menawarkan mereka sebagai model dan akan membawa mereka pulang ke hotel, malah turut meminta mangsa membawa bersama rakan mereka.
“Mangsa akan ditatarias dan dipakaikan mekap sebelum gambar diambil dan kemudiannya dia mencabul mereka,” katanya yang memberitahu bilik hotel dihuninya diubah suai supaya kelihatan seperti studio fotografi.
Selain kanak-kanak jalanan, mangsa turut dicari di pusat beli-belah, manakala Frans dilapor mendera mereka secara fizikal sekiranya tidak menurut katanya.
AFP melaporkan kanak-kanak yang bersetuju untuk bersetubuh dengannya akan dibayar antara Rp250,000 (RM74) ke Rp1 juta (RM296).
Polis juga mengesahkan yang Frans meletak kamera tersembunyi dalam bilik itu untuk merakam sekurang-kurangnya 305 aksi bersama mangsa berbeza.
“Tidak mustahil dia merakam ratusan video sehari. Saya percaya dia mengambil masa bertahun melakukannya dan dia juga sudah tinggal di Indonesia sejak 2015.
“Saya merayu sesiapa yang dikhuatiri menjadi mangsa Frans supaya tampil melapor kepada kami,” katanya yang memberitahu Frans didakwa mengikut Seksyen 82 dibaca bersama Seksyen 72D dan 82 bersama Seksyen 76E Akta Perlindungan Kanak-Kanak.
Sabit kesalahan, Frans boleh dihukum mati atau penjara sehingga 20 tahun.