Rajuk tak dapat Lamborghini

Salt Lake City: Merajuk permintaannya mahu membeli Lamborghini ditolak, seorang kanak-kanak lelaki di Utah, Amerika Syarikat membuat ‘kerja gila’ dengan mencuri sebelum memandu kenderaan ibu bapanya itu.

Budak lima tahun itu dilaporkan Fox TV bertelagah dengan ibunya yang tidak mahu membelinya kenderaan mewah itu sebelum dia memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarganya untuk ke rumah kakaknya di California.

Lucunya, kanak-kanak itu merancang membeli Lamborghini di California biarpun hanya mempunyai AS$3 (kira-kira RM13).

Polis, Rick Morgan berkata, pada mulanya dia menyangka pemandu SUV itu orang kurang upaya (OKU) kerana memandu secara perlahan dan tidak lurus di jalan raya.

Pemandu bagaimanapun, menurut arahan siren kenderaan polis dan berhenti di tepi jalan, namun Morgan terperanjat melihat kanak-kanak yang memandu SUV itu.

“Apabila tingkap SUV diturunkan, saya hilang kata-kata apabila melihat pemandunya kanak-kanak bawah umur.

“Saya tanya ke mana dia hendak pergi? Dia menjawab California,” katanya.

Katanya, walaupun dalam keadaan sukar memandu kerana kaki tidak sampai ke pedal, kanak-kanak itu berjaya memandu beberapa kilometer.

“Keadaan akan jadi lebih buruk jika kami biarkan dia terus pergi ke destinasinya. Oleh itu, kami menghubungi orang tuanya.

“Jelas di wajahnya nampak kecewa dan macam hendak menangis, tapi inilah yang terbaik untuknya supaya dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.