Rai ulang tahun ke-116 tanpa gangguan

Cape Town: Lelaki Afrika Selatan, Fredie Blom meraikan hari lahir ke-116 pada Jumaat tanpa gangguan koronavirus iaitu lebih 100 tahun sejak wabak pandemik selesema 1918 (Selesema Sepanyol) yang meragut nyawa adiknya.

“Saya hidup selama ini kerana rahmat Tuhan,” kata Blom, berkemungkinan lelaki tertua di dunia.

Dia turut mengimbas pandemik 1918 yang menyebabkan jutaan orang meninggal dunia di serata dunia, termasuk adik perempuannya.

Blom dilahirkan pada 1904 di pekan pedalaman Adelaide dekat pergunungan Great Winterberg di wilayah Cape Timur, Afrika Selatan, dikatakan lebih tua daripada lelaki Britain berusia 112 tahun yang direkodkan Guinness World Records sebagai lelaki tertua pada Mac.

Bagaimanapun, umur Blom belum disahkan mana-mana badan.

Sambutan hari lahirnya dikelilingi cucu dan cicit yang berkumpul di halaman rumah, sebelum didatangi jiran, menyanyikan lagu selamat hari jadi.

Blom menghabiskan hayatnya dengan bekerja di ladang sekitar bandar ini. Dia bertemu isterinya, Jeanette, 86, ketika acara tarian dan memenangi hatinya menerusi gerakan jive.

Pasangan itu sudah berkahwin hampir 50 tahun dan berpindah ke Delft di sini, tiga dekad lalu.

Pada usianya lebih seabad, Blom berkata, dia tidak mahu pandemik koronavirus mengganggunya hingga mendatangkan panik.