Presiden Lubnan tolak siasatan antarabangsa
Beirut: Presiden Lubnan, Michel Aoun menolak sebarang siasatan pihak antarabangsa berkaitan letupan dasyat di pelabuhan Beirut Selasa lalu.
Beliau mendakwa peluru berpandu atau kecuaian mungkin adalah penyebab kepada insiden itu yang mengorbankan lebih 154 orang.
Jumaat lalu, Michel mengakui bahawa sistem politik negara itu lumpuh dan perlu diperbetulkan semula.
Beliau berjanji akan mencari keadilan dengan segera bagaimanapun menolak sebarang siasatan oleh pihak antarabangsa yang disifatkan sebagai usaha untuk menyembunyikan kebenaran.
“Ada dua kemungkinan senario yang berlaku: sama ada ia adalah kecuaian atau campur tangan asing melalui peluru berpandu atau bom,” katanya.
Sementara itu Pemimpin Pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah menafikan bahawa pihak Syiah menyimpan senjata di pelabuhan itu dengan mengatakan, “Kami tidak memiliki apa-apa di pelabuhan itu”.
Siasatan pihak berkuasa Lubnan setakat ini mengesahkan 21 penangkapan, termasuk Pengurus Besar pelabuhan, Hassan Koraytem; dan beberapa pegawai kanan lain.
Puluhan lagi sedang disoal siasat oleh Mahkamah Tentera Lubnan dengan memberi fokus kepada pegawai pentadbiran dan keselamatan di pelabuhan serta pihak berkuasa pemerintah yang mungkin mengabaikan amaran mengenai bahan letupan.
Menurut sumber, senarai penangkapan adalah termasuk orang terkemuka.
Bank Lubnan juga diperintahkan membekukan aset tujuh pegawai pelabuhan dan kastam.