Pindah pesakit sembuh ke kapal persiaran

Singapura: Singapura memindahkan pekerja asing yang sembuh daripada Covid-19 ke dua kapal persiaran.

Langkah itu bagi mengurangkan penularan penyakit di asrama pekerja yang menyaksikan kes jangkitan dari kluster itu terus melonjak.

Lembaga Pelancongan Singapura mengesahkan, sekumpulan pekerja menaiki kapal persiaran bersaiz sederhana, SuperStar Gemini, Rabu lalu.

Manakala SuperStar Aquarius bersiap sedia menerima lebih banyak ‘penumpang’ selepas menjalani penilaian daripada agensi kerajaan.

Kapal berkenaan dapat menampung sehingga 2,000 kapasiti penginapan.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, pekerja akan ditempatkan dalam bilik berkembar dilengkapi tandas serta diarahkan mematuhi penjarakan sosial.

Katanya, makanan yang siap dibungkus untuk setiap orang akan digantung di luar kabin.

Republik itu berjaya mengawal kes jangkitan, namun menghadapi gelombang kedua jangkitan lebih pantas membabitkan kompleks penempatan pekerja asing yang kebanyakannya buruh binaan dari Asia Selatan.

Dalam usaha pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan dalam asrama sesak, pihak berkuasa memindahkan pekerja berkenaan ke tempat lain termasuk berek tentera dan apartmen kosong.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19