Pengemis berkarung menjelang Aidilfitri

JAKARTA: Menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi, Kota Semarang dibanjiri manusia karung atau pengemis walaupun wabak Covid-19 belum reda.

Kompas melaporkan lebih-lebih lagi ketika wabak pandemik menyebabkan mereka makin berani berada di tepi jalan, lampu isyarat atau pusat keramaian.

Ketua Polis Daerah Kota Semarang, Fajar Purwoto berkata, istilah manusia karung digelar kepada pengemis di tepi jalan Kota Semarang.

“Mereka sengaja bawa karung untuk menarik simpati pengguna jalan memberi sedekah atau makanan percuma,” katanya.

Menurutnya, setiap kali menjelang Aidilfitri golongan itu memenuhi bandar dan keadaan itu biasa setiap tahun.

“Bagi mengatasi masalah itu, kami menghalau mereka dari Kota Semarang yang berpotensi menjadi tempat tinggal kekal mereka.

“Kita mengawal jumlah manusia karung dan mengenal pasti lokasi mereka iaitu di lampu isyarat Jrakah, Kalibanteng, Karangayu, Simpang Lima dan di sekitar Masjid Diponegoro.

“Kami juga menemui penyanyi jalanan di Jalan Pandanaran,” katanya.

Katanya, melalui operasi itu, 31 pengemis membawa karung dan penyanyi jalanan ditahan.