Pecat atas talian

SINGAPURA: Sekatan pergerakan yang masih dilaksanakan di beberapa negara menyebabkan segelintir pekerja masih menjalankan tugas dari rumah dan menggunakan medium panggilan video untuk sebarang perbincangan.

Namun, ada majikan yang mengambil kesempatan dengan memberhentikan pekerja menerusi sidang video, menjadikan proses berkenaan lebih menyakitkan.

Berita Harian Singapura yang memetik laporan The New Paper melaporkan satu syarikat multinasional yang beroperasi di republik itu memberhentikan seorang pekerjanya yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun, menerusi e-mel pada April lalu.

Pertemuan berikutnya adalah menerusi sidang video Zoom yang berlangsung kurang dari 15 minit kerana pekerja dan majikan tidak mencapai persetujuan bersama.

Syarikat itu menyatakan akan menghantar barang milik pekerja berkenaan kerana dia tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan.

Disebabkan penularan Covid-19 yang menjejaskan pekerjaan, lebih banyak pekerja di seluruh dunia dipecat atau diberhentikan secara maya yang menyebabkan ketidakpuasan antara kedua-dua pihak.

Peguam lelaki itu, Muntaz Zainuddin, rakan kongsi di LHDN Law memberitahu The New Paper bahawa pelanggannya kesal dengan caranya diberhentikan walaupun sudah lama bekerja di sana.

“Beliau berasa syarikat itu tidak menghargai atau menghormatinya, dan segera menganggap pakej pemberhentian itu tidak adil,” katanya.

Katanya, walaupun jauh dari ideal kerana menjadikan proses yang menyakitkan itu lebih tidak berhati perut, namun cara itu dilihat sukar dielakkan dalam keadaan semasa.

“Pemberhentian jarak jauh seperti ini mungkin tidak dapat dielakkan buat masa ini, dengan sebahagian besar pekerja masih bekerja dari rumah dan majikan tidak dapat bertemu pekerja secara langsung,” katanya.