Kuarantin hotel mewah

RIBUAN individu di Arab Saudi kini menjalani kuarantin di hotel dengan ditempatkan di suite mewah, dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Mereka terdiri daripada rakyatnya yang baru pulang dari negara luar dan warga asing yang terkandas di negara itu termasuk ketika transit selepas kerajaan menggantung operasi pengangkutan udara.

Inisiatif itu antara langkah sementara kerajaan bagi membantu sektor hospitaliti negara itu yang kini terjejas teruk susulan penularan wabak berkenaan.

Sumber memberitahu AFP, sebuah hotel empat bintang di pusat bandar ini ditawarkan AS$1.06 juta (kira-kira RM4.85 juta) sebulan sebagai pusat kuarantin.

Sebuah lagi hotel di bawah pengurusan syarikat sama dengan jumlah bilik lebih banyak pula ditawarkan RM6 juta untuk digunakan bagi tujuan berkenaan.

Bagaimanapun, nama hotel tidak didedahkan bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat.

Ketika ini, hampir 1,900 bilik hotel di Riyadh, lebih 2,800 di Makkah serta 1,900 bilik di wilayah timur negara itu ditempah sebagai pusat kuarantin.

Minggu ini, kerajaan menyatakan 11,000 bilik hotel bersedia menerima rakyat Arab Saudi yang kembali ke negara itu selepas terkandas di luar negara.

Jurulatih pasukan bola sepak Arab Saudi, Abdulhakeem al-Tuwaijri memberitahu pengalaman menjalani kuarantin sejurus kembali ke negara itu selepas latihan di kem bola sepak di Barcelona adalah lebih bagus berbanding penginapan lima bintang di hotel di Eropah.

Sehingga semalam, Arab Saudi merekodkan lebih 4,400 kes Covid-19 dengan 59 kematian.