Koboi tangkap harimau

Mexico City: Seorang lelaki berpakaian koboi digelar ‘Raja Harimau Mexico’ selepas videonya menangkap seekor harimau yang terlepas dari kandang, tular di media sosial.

The Telegraph melaporkan video yang dirakam oleh pengguna jalan raya itu menunjukkan tiga lelaki berlari dan mengejar harimau berkenaan.

Harimau itu tidak kelihatan agresif namun seorang daripada lelaki berkenaan memegang kerusi boleh lipat dipercayai sebagai langkah keselamatan.

Selepas beberapa ketika, harimau itu seakan menyedari sudah terkepung oleh sekumpulan lelaki dan cuba berpatah balik.

Ketika ini, seorang lelaki berpakaian koboi dilihat melemparkan tali bergelung ke leher harimau itu sehingga haiwan itu tertangkap.

Menurut FOX News, insiden berkenaan itu dipercayai berlaku di kawasan pinggir bandar Jalisco di Guadalajara.

Media tempatan, Mediotiempo pula melaporkan harimau itu ditemui berkeliaran di tepi lebuh raya di bandar Chapala.

Dalam pada itu, video kejadian tular selepas dimuat naik menerusi akaun Twitter POLITICO Mexico, Khamis lalu.

Ia mendapat perhatian warganet sehingga lelaki koboi itu digelar sebagai Raja Harimau.

Selain itu, ada yang membandingkan lelaki berkenaan dengan siri dokumentari popular Netflix, ‘Tiger King’ yang memaparkan kisah individu yang memelihara harimau.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesahkan menerima laporan harimau terlepas dari kandang dari sebuah kediaman penduduk.

Bagaimanapun, seorang jurucakap berkata, harimau itu sudah dapat ditangkap sebelum polis tiba di lokasi kejadian.