Kerja musang rupanya!

BERLIN: Misteri kehilangan selipar dan kasut di sebuah kejiranan di ibu kota Jerman terungkai selepas seorang penduduk berjaya menjejaki ‘suspek’.

Lucunya, suspek itu adalah seekor musang yang menimbulkan tanda tanya orang ramai mengenai motif haiwan itu mencuri barangan milik penduduk.

Fox News melaporkan kegiatan haiwan itu terbongkar selepas seorang penduduk tempatan, Christian Meyer mencari pelaku yang mencuri kasut yang biasa digunakan untuk aktiviti larian.

Meyer berkata, dia memuat naik hantaran mengenai insiden kehilangan kasutnya di platform perkongsian komuniti Jerman di Nebenan.de.

Melalui platform itu, dia menyedari bahawa puluhan lagi penduduk kehilangan kasut mereka di kawasan sama, lapor akhbar Berlin Tagesspiegel.

Pelik dengan kejadian itu mendorong dirinya membuat siasatan sendiri sebelum menemui seekor musang menggigit selipar berwarna biru.

Meyer mengambil gambar haiwan berkenaan mengangkut kasut ke suatu tempat sebelum menemui pelbagai lagi kasut berwarna-warni.