Kereta ‘digoda’ hantu
Tokyo: Rumah hantu pandu lalu kini diperkenalkan di Jepun sebagai hiburan alternatif ketika penularan Covid-19.
AFP melaporkan di dalam rumah hantu berkenaan, pengunjung boleh menjerit sekuat hati tanpa perlu memakai pelitup muka.
Malah, mereka hanya perlu berada di dalam kenderaan masing-masing dan masih mengekalkan penjarakan sosial.
Kenta Iwana, 25, memberitahu AFP, pihaknya memperkenalkan format baharu itu dan ia dikatakan lebih menyeramkan.
“Pengunjung terpaksa berkurung di dalam kenderaan dan tidak dapat lari daripada kelibat hantu.
“Ini lebih menakutkan mereka,” katanya.
Menurut Iwana, idea itu tercetus selepas berdepan kekangan dan kesulitan berikutan pembatalan acara susulan pandemik Covid-19.
“Tempahan rumah hantu dibatalkan satu persatu dan keadaan itu menyebabkan kami kehilangan 80 peratus pelanggan.
“Jadi, beberapa perubahan dilakukan untuk mengikut kesesuaian situasi semasa.
“Pelakon yang menjadi hantu memakai pelitup muka dicat darah tiruan dan kami memainkan rakaman suara,” katanya.
Seorang pemegang watak pembunuh bersiri dalam produksi rumah hantu itu berkata, format baharu itu mendapat maklum balas positif daripada pengunjung.
“Saya masih boleh mendekati pengunjung walaupun mereka berada di dalam kereta.
“Menarik melihat reaksi mereka dalam jarak dekat tetapi masih mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.