Kenapa tiada Palestin dalam peta Google, Apple?
London: Sejak beberapa minggu lalu, warganet mempertikaikan tindakan Google dan Apple yang tidak memasukkan Palestin di dalam petanya.
Ia selepas pemerhatian mendapati hanya Israel yang ditandakan di dalam peta berkenaan,
sedangkan isu sudah menjadi perdebatan sejak puluhan tahun lalu.
Namun, pertikaian ini bukan pertama kali berlaku. Ia pernah diperdebatkan di Twitter walaupun Google tampil memberi penjelasan lanjut mengenai tindakannya itu.
Menerusi laporan express.co.uk, sesiapa yang mencari Palestin di peta Google akan dibawa ke sempadan geografi yang hanya dilabelkan sebagai Israel.
Nama Israel ada ditandai pada peta.
Namun, Palestin tidak dilabelkan sebagai sebuah negara sehingga menyebabkan pertikaian di media sosial.
Pengguna media sosial mempersoalkan tindakan Apple dan Google yang ‘memadamkan’ nama Palestin.
Untuk rekod, sebanyak 138 anggota Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai negara.
Bagaimanapun, sebahagian besar negara Barat tidak berbuat demikian termasuk Amerika Syarikat (AS).
Ibu pejabat Google dan Apple juga terletak di AS.
Isu ini pernah hangat pada 2011 ketika wartawan Palestin mengeluarkan kenyataan mengecam Google berhubung perkara itu pada sebuah forum.
Ketika itu, syarikat berkenaan mengakui berlaku kesilapan sehingga memadamkan garis sempadan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun, Google berkata, ia sudah diperbetulkan.
Namun, syarikat itu bertegas pihaknya tidak pernah pada bila-bila masa menandakan wilayah berkenaan sebagai Palestin.