Kebumi bersama kereta kesayangan
SEORANG ahli politik terkenal di sini, yang meninggal dunia minggu lalu dikebumikan bersama kereta limosin Mercedes Benz E500 yang dijadikan keranda demi menunaikan hajat terakhirnya.
Tshekede Bufton Pitso, bekas pemimpin United Democratic Movement (UDM) di Eastern Cape, meninggal dunia selepas terjatuh ketika berjalan ke kereta kesayangannya.
Menurut Odditycentral.com, bekas ahli perniagaan itu pernah memiliki hampir semua model Mercedes Benz, namun menjualnya beberapa tahun kebelakangan ini kerana berdepan saat sukar.
Beliau bagaimanapun membeli Mercedes Benz E500 terpakai keluaran 1990. Walaupun kereta itu sudah rosak dan tidak boleh dipandu, beliau suka menghabiskan masa di dalam kereta itu sambil mendengar radio.
Beliau pernah memaklumkan kepada keluarga mahu dikebumikan di dalam kereta itu apabila meninggal dunia dan minggu lalu hasratnya tercapai.
Majlis pengebumian Tshekede, seorang pemimpin popular di East Cape dan dikenali sebagai penyokong kuat parti UDM, turut dihadiri kenalan walaupun ketika perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.
“Kami tidak pernah terima permintaan seperti ini, mengebumikan mayat di dalam kereta dan ia tugasan amat sukar serta tertekan,” kata Pengarah Phomolong Funeral Parlor, Thabiso Mantutle.
“Kita perlu pastikan ukurannya tepat bagi memastikan kereta itu dapat ditimbus sepenuhnya, kita juga perlu bina jalan ke kawasan kubur, ia perlu satu kertas kerja sempurna,” katanya.
Gambar diambil ketika majlis pengebumian memperlihatkan Tshekede diletakkan di tempat duduk pemandu lengkap memakai tali pinggang keledar dan tangan di atas stereng.
Turut kelihatan, sekumpulan individu berusaha menurunkan kereta itu secara perlahan-lahan ke dalam kubur sedalam lapan kaki yang dikorek kenderaan pengorek tanah di plot tanah kubur milik keluarga Pitso.