Karya seni “insomnia’
Seoul: Di sebalik hasil seni unik hitam putihnya, tiada siapa mengetahui pelukis Korea Selatan, Henn Kim berkarya ketika orang lain lena diulit mimpi.
Tabiatnya melukis antara 2 dan 3 pagi berlaku secara semula jadi apabila dia tidak mampu tidur normal seperti orang lain akibat masalah insomnia dan kemurungan.
Henn yang yang juga pereka ilustrasi kulit buku terlaris 2018, Normal People, buah tangan Sally Rooney, amat terkenal dengan hasil seni lukisan monokrotik.
Wanita itu yang digambarkan sebagai minimalis dan puitis itu gemar berkongsi karya baharu dengan lebih 880,000 pengikutnya di media sosial.
Menurut Henn, dia menjadikan aktiviti melukis sebagai terapi masalah dialaminya sejak remaja itu.
“Saya terpaksa melukis antara 2 pagi dan 3 pagi kerana tak dapat tidur.
“Tapi sekarang, saya merasakan berkarya adalah perkara terbaik dalam hidup saya.
“Saya rasa sangat tenang dan gembira apabila saya dapat menghasilkan sesuatu karya,” katanya seperti yang dilaporkan BBC.
Mengimbau pembabitannya itu, Henn berkata, dia mula melukis ketika masih kecil selepas didorong oleh ibunya.
“Tapi apabila saya 17 tahun, kemurungan dan insomnia saya semakin teruk membuatkan saya tidak bercakap dengan orang lain selama dua tahun.
“Dalam kepala saya penuh dengan kata-kata dan imej tetapi saya tak mampu meluahkan dengan mulut, hanya melalui karya seni saya.
“Sejak itu, saya mula konsisten melukis dengan pen hitam. Itucara saya mendapatkan gaya lukisan saya,” katanya.