Jual haiwan korban di media sosial
NEW DELHI: Jualan haiwan korban sempena Aidiladha tahun ini dilakukan secara dalam talian berikutan kekhuatiran terhadap penularan wabak Covid-19.
Pandemik berkenaan yang menjejaskan India, Bangladesh dan Pakistan, menyebabkan pasar haiwan ditutup dan pelanggan juga takut mengunjungi tempat awam.
Saddid Hossain, dari Dhaka, Bangladesh, memberitahu AFP bahawa beliau sekeluarga masih trauma dengan kehilangan seorang ahli keluarga akibat Covid-19 dan tidak mahu menyertai korban tahun ini.
“Bagaimanapun, kami akan mengekalkan tradisi keagamaan dengan membeli haiwan korban dari penjual lembu secara dalam talian,” katanya.
Berdepan kekangan berurus niaga di pasar, penternak dan penjual kini bertukar kepada jualan menerusi laman sesawang, aplikasi telefon bimbit dan media sosial untuk mengiklankan haiwan mereka.
Fahad Zariwala turut melakukannya dengan mengiklankan kambing dari ladang di seluruh India di saluran YouTubenya, yang kini mempunyai 800,000 pengikut.
“Saya merakam video secara gerak perlahan dengan muzik yang indah dan saya membuatkan mereka (kambing) popular,” katanya.
Tontonan itu mendapat tarikan ramai termasuklah dari Australia, Britain, Amerika Syarikat (AS) serta negara Arab, yang menempatkan masyarakat Asia Barat yang besar.
Beliau turut cuba menarik perhatian pelanggan yang mungkin mahu membeli haiwan korban untuk keluarga mereka di India, negara dengan kira-kira 200 juta penduduk Islam.
Di Pakistan yang mempunyai sekitar 215 juta penduduk, pelbagai aplikasi media sosial muncul sejak kebelakangan ini bagi mengendalikan jualan haiwan korban.
Penjualan haiwan korban secara dalam talian oleh syarikat PashuBajaar juga meningkat daripada berpuluh ekor kepada 2,500 ekor dalam tempoh tiga bulan.
“Kami juga menerima beribu tempahan secara dalam talian untuk tahun depan,” kata Ketua Eksekutifnya, Sanjeev Kumar.
Haiwan yang dibeli akan dihantar terus kepada pembeli, malah mereka juga boleh meminta ia terus dihantar di hadapan rumah sama ada disembelih atau diedarkan kepada badan kebajikan.
Peniaga di Mumbai, Walid Dawood Jat, yang baru-baru ini menjual enam ekor kambing secara dalam talian berkata, harga berkurangan hampir separuh berbanding tahun lalu.
Di pasar jualan lembu terbesar di Dhaka, jualan haiwan ternakan berkurangan kepada hanya sekitar 30,000 ekor seminggu berbanding hampir 400,000 tahun lalu.
Seorang peniaga, Kalu Bepari berkata, dia yang berkunjung ke bandar dengan jarak 245 kilometer bersama 13 lembu berjaya menjual dua ekor lembu saja pada harga terlalu murah.
“Tiada sesiapa bertanyakan harga,” katanya.