Jijiknya!

FLORIDA: Sebuah restoran piza di selatan Amerika Syarikat (AS) diarah tutup selepas pihak berkuasa menemui bangkai iguana seberat 39 kilogram di dalam peti sejuk premis berkenaan.

Action News Jax melaporkan, Pizza Mambo di West Palm Beach diarah tutup pada Khamis oleh Jabatan Peraturan Profesional dan Perniagaan Florida kerana melanggar 27 peraturan.

Lebih menjijikkan, kakitangan jabatan itu menemui kesan kekotoran lipas dan tikus di seluruh premis itu termasuk di bawah rak penyimpanan barangan kering.

Media tempatan melaporkan usaha mendapatkan maklum balas daripada pemilik premis itu gagal.

Namun, pekerjanya memberitahu bahawa iguana itu adalah hadiah yang diterima oleh majikannya.

Dakwanya, cicak gergasi itu sebenarnya diletakkan berasingan dalam peti sejuk mini, jauh dari makanan restoran itu.

Iguana yang banyak terdapat di selatan Florida dianggap makanan eksotik oleh segelintir individu.

Di Caribbean, reptilia itu juga dikenali sebagai ‘pollo de los árboles’ atau ayam pokok.