Indonesia kurangkan penjawat awam tidak produktif
MENTERI Perubahan Birokrasi dan Pentadbiran, Tjahjo Kumolo mendedahkan bahawa kerajaan Indonesia kini sedang merangka strategi untuk mengurangkan jumlah penjawat awam yang tidak produktif selepas diarahkan bekerja dari rumah bagi mengekang penularan Covid-19.
Beliau berkata, terdapat penjawat awam yang kurang produktif ketika bekerja dari rumah dan gagal melaksanakan tugasan mereka seperti biasa.
“Kami perlu strategi untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam yang tidak produktif ini,” katanya kepada kompas.com.
Tjahjo berkata, mereka yang gagal melaksanakan tugasan ini mengakibatkan rakan sekerja dibebani tugasan lain.
“Mereka yang menjalankan tugas dengan baik ketika bekerja dari rumah dibebani pelbagai kerja kerana terpaksa menanggung bahagian yang gagal diuruskan orang lain,” katanya.
Katanya, Indonesia mempunyai jumlah penjawat awam yang terlalu ramai, namun jumlah yang mampu membuat kerja dengan cekap terlalu sikit.
“Terlalu ramai, namun tidak cukup. Kita perlukan perubahan drastik dalam menentukan calon yang layak untuk pengambilan pekerja pada masa depan,” katanya.
Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Agensi Perkhidmatan Awam Nasional (BKN) untuk mendapatkan penyelesaikan tepat.
Kedua-dua institusi bersetuju untuk menyusun semula format sistem pengurusan perkhidmatan awam berdasarkan polisi normal baharu.