Ikat jamin bekas polis bunuh George Floyd AS$1.25 juta
Minnesota: Mahkamah di sini, semalam menetapkan jaminan AS$1.25 juta (RM5.31 juta) ke atas bekas polis Minneapolis yang berdepan tuduhan membunuh George Floyd.
Memetik The Guardian, keputusan dibuat Hakim Jeannice Reding selepas membenarkan ikat jamin tanpa syarat oleh pihak pendakwaan dan tertuduh, Derek Chauvin, 44, perlu menyerahkan senjata apinya, patuh undang-undang dan hadir mahkamah pada prosiding berikutnya.
Terdahulu, Chauvin tampil secara pautan video dan tidak bercakap banyak selama 11 minit pendengaran diadakan. Dia ditahan di penjara kawalan ketat Minnesota di Oak Park Heights.
Peguam mewakili Chauvin tidak membantah jaminan itu yang dinaikkan daripada AS$1 juta kepada AS$1.25 juta tanpa syarat dan daripada AS$750,000 juta kepada AS$1 juta berserta syarat, lapor akhbar tempatan.
Bekas polis berkulit putih itu menghadapi tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian selepas dirakam menekan leher Floyd dengan lutut selama sembilan minit, walaupun mangsa menangis sambil berkata ‘saya tidak boleh bernafas’.
Sesi pendengaran itu diadakan selepas protes besar-besaran di hampir seluruh AS yang kini memasuki minggu ketiga. Prosiding berikutnya ditetapkan pada 29 Jun.
Dalam pada itu, ratusan orang berkumpul di luar gereja di Houston, Texas bagi memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang Floyd. Turut sama, bekas Timbalan Presiden Joe Biden.
Sebelum ini, majlis penghormatan terakhir itu diadakan di Minneapolis dan Raeford, North Carolina, tempat di mana Floyd dilahirkan.
Pengebumian pemuda berusia 47 tahun itu dijangka berlangsung hari ini di tanah perkuburan Houston Memorial Gardens dan mendiang akan disemadikan di sebelah kubur ibunya, Larcenia Floyd.