Covid-19: WHO bimbang penularan di Afrika

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam menyuarakan kebimbangan berhubung penularan Covid-19 di Afrika.

WHO turut memberi amaran peningkatan kes di Afrika Selatan.

Ketua Kecemasan WHO, Michael Ryan memberitahu pihaknya amat prihatin dengan peningkatan kes di benua berkenaan.

“Afrika Selatan berdepan situasi membimbangkan dan ia memberi petunjuk apa yang bakal dihadapi oleh benua itu jika tindakan segera tidak diambil.

“Ia peringatan untuk apa yang akan bakal terjadi di seluruh Afrika,” katanya.

Menurut Ryan, penularan Covid-19 di Afrika Selatan bermula lebih awal daripada di negara Afrika lain.

Katanya, ia pertama kali merebak di kawasan berpendapatan tinggi tetapi kini merebak ke penempatan golongan miskin dan luar bandar.

“Ia berlaku dengan begitu pantas sekali,” katanya.

Setakat ini, Afrika Selatan menjadi negara paling terjejas akibat Covid-19 di Afrika dengan 373,628 kes dan 5,173 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19