Covid-19: Tiga pemimpin mafia Itali dibebaskan dari penjara
Rom: Tiga pemimpin mafia Itali dibebaskan dari penjara, kata pendakwa raya anti-mafia kebangsaan.
CNN melaporkan, mereka adalah Francesco Bonura ketua Sicilian Cosa Nostra; anggota kumpulan Ndrangheta, Vincenzo Iannazzo serta Pasquale Zagaria ahli puak Casalesi.
Pendakwa Raya Anti-Mafia kebangsaan Itali Federico Cafiero De Raho mengesahkan pembebasan itu tertakluk di bawah peraturan baharu Covid-19.
Cafiero De Raho berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan di bawah pengasingan ketat untuk mengelak kontak dengan orang luar berikutan peranan dan pengaruh kuat mereka dalam organisasi mafia.
“Sebaik mereka dihantar ke rumah, peraturan ini akan tidak akan dikuat kuasakan lagi,” katanya.
Bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam penjara, kerajaan membenarkan hakim memindahkan banduan yang masih menjalani hukuman penjara 18 bulan atau kurang tempoh itu ke tahanan di rumah.
Bagaimanapun, pembebasan awal tiga lelaki itu mendapat kritikan di Itali.
Pemimpin parti pembangkang Itali, Matteo Salvini menyifatkan tindakan itu tidak betul.
“Ini kerja gila. Ia tidak menghormati orang awam, hakim, wartawan, polis dan mangsa mafia itu sendiri,” katanya dalam rakaman video di Facebook.
Sementara itu, Menteri Keadilan, Alfonso Bonafede berkata, keputusan membebaskan penghuni tahanan itu dilakukan hakim dengan cara ‘autonomi dan bebas’ namun keputusan akhir akan turut membabitkan jabatan anti-mafia kebangsaan.
Berdasarkan Kementerian Keadilan, jumlah banduan di Itali menurun kepada 6,500 orang sejak 29 Februari.
Koordinator Antigone, sebuah persatuan hak banduan, Alessio Scandurra memaklumkan, peraturan koronavirus dan beberapa faktor lain menjadi penyumbang kepada penurunan populasi penghuni tahanan.