Covid-19: Ibu ‘pergi’, anak selamat

LONDON: Seorang jururawat hamil meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19, namun bayi dikandungnya selamat dilahirkan.

Mary Agyeiwaa Agyapong, 28, yang bertugas di wad umum di Luton and Dunstable University Hospital, di utara London dilaporkan meninggal dunia, Ahad lalu.

Bagaimanapun, status bayi itu sama ada dijangkiti wabak itu atau tidak masih belum diketahui.

Ketua Eksekutif Yayasan Amanah Hospital Bedfordshire, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) David Carter mengesahkan, wanita itu disahkan positif wabak itu pada 5 April lalu sebelum dirawat di tempatnya bekerja, dua hari kemudian.

“Dukacitanya saya dengan ini mengesahkan seorang jururawat kami meninggal dunia, Mary Agyeiwaa Agyapong, Ahad lalu.

“Mary bertugas di sini sejak lima tahun lalu dan sangat disayangi pasukan kami .

“Dia seorang jururawat yang hebat dan contoh terbaik dalam apa yang kita usahakan selama ini.

“Takziah kami ucapkan kepada keluarga dan rakan Mary yang berdepan saat menyedihkan ini,” katanya.

Kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk barisan petugas hadapan di United Kingdom terus menjadi pertikaian apabila mereka terdedah risiko jangkitan ketika menangani kes wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19