Covid-19: AS uji ubat anti-malaria

WASHINGTON: Ubat anti-malaria hydroxychloroquine bakal diguna sebagai ujian ke atas 3,000 pesakit koronavirus baharu (Covid-19) di hospital di Detroit, Michigan dan keputusannya akan disemak untuk kajian rasmi, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Naib Presiden Mike Pence, semalam.

Pence memberitahu dalam taklimat di Rumah Putih, mereka bersedia untuk membekalkan doktor dan farmasi di kawasan Detroit dengan hydroxychloroquine.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, Kerajaan Pusat sudah menyimpan sebanyak 29 juta dos hydroxychloroquine.

Minggu lalu, Trump berkata, hydroxychloroquine diberikan kepada 1,000 pesakit di New York bersama dengan ubat Z-Pak atau azithromycin.

Pada Sabtu, Pengarah Institut Penyakit Berjangkit dan Alergi Kebangsaan, Dr Anthony Fauci, berkata tiada maklumat tepat yang diperoleh untuk memberikan sebarang ulasan sama ada ubat itu boleh digunakan bagi merawat Covid-19.

AS meningkatkan pembangunan rawatan untuk pesakit Covid-19 termasuk melakukan ujian menggunakan hydroxychloroquine serta terapi berkaitan darah, ketika jumlah kes dan kematian terus meningkat.

Jumlah kes Covid-19 di negara itu sudah melebihi 337,000 pada hario ini dengan 9,619 kematian, menurut data Johns Hopkins University.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19