Comanescu lelaki tertua
BUCHAREST: Cinta dan kasih sayang keluarga menjadi rahsia lelaki tertua dunia ini hidup lama.
Dumitru Comanescu dari Romania berusia 111 tahun dan 203 hari diiktiraf Guinness World Records sebagai lelaki tertua menggantikan rakyat Britain, Bob Weighton yang meninggal dunia, 28 Mei lalu pada usia 112 tahun.
The Guardian melaporkan Comanescu adalah graduan universiti pada 1933 dan bekerja sebagai jurutera pertanian serta berpengalaman selama 70 tahun dalam patologi tumbuhan.
Dia hidup dilimpahi kasih sayang isteri, anak, cucu dan cicit sudah merasai perang dunia, kediktatoran ketenteraan Romania dan juga penjajahan Kesatuan Soviet antara 1944 dan 1958.
“Ini penghormatan dan saya bersyukur kerana secara rasmi diiktiraf lelaki tertua dan mewakili Romania ke peringkat tertinggi. Ini sungguh luar biasa,” katanya.
Comanescu diiktiraf lelaki tertua Romania pada Februari tahun ini dan menerima Euro 1,046 (RM5050.35) serta plak.