Bercium atas bumbung, atlet parkour Iran ditahan
Tehran: Atlet parkour Iran ditahan kerana melakukan perbuatan lucah, kata polis selepas lelaki itu memuat naik gambarnya mencium seorang wanita di atas bumbung.
Lelaki itu ditahan polis siber Tehran, kata Ketua Polis ibu negara, Hossein Rahimi dipetik oleh agensi berita separa rasmi ISNA.
“Kami menentang mana-mana individu atau pasangannya yang berkelakuan sumbang dan lucah. Polis dan badan kehakiman akan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya tanpa menamakan individu berkenaan.
Lelaki berkenaan adalah Alireza Japalaghy, atlet parkour Tehran yang mempunyai lebih 133,000 pengikut di Instagram.
Parkour adalah aktiviti sukan ekstrem yang bermula di Perancis pada 1990-an, menggabungkan kecekapan pergerakan dari satu bangunan ke satu bangunan lain.
Japalaghy memuat naik beberapa gambar dan video minggu lalu menunjukkan dia bersama seorang wanita yang tidak dikenali dengan berpakaian terdedah tergantung di luar bangunan sambil bercium.
Mengikut undang-undang Islam, wanita hanya boleh mendedahkan muka, tangan dan kaki di khalayak ramai, dan sepatutnya berpakaian dengan warna sederhana.
Sementara itu, Rahimi berkata, wanita yang dirakam dalam gambar Japalaghy juga akan ditahan dalam masa terdekat.