AS masih catat kematian tinggi Covid-19

Paris: Pandemik Covid-19 sudah meragut 357,311 nyawa dan menjangkiti 5,747,100 orang di 196 negara dan wilayah seluruh dunia.

Data itu dikumpul AFP daripada sumber rasmi setakat malam tadi.

Amerika Syarikat (AS) masih menjadi negara tertinggi kadar kematian dengan 101,002 kes, diikuti Britain (37,837), Itali (33,142), Perancis (28,662) dan Sepanyol (27,119).

Manakala Amerika Latin yang kini menjadi pusat pandemik terbaharu, menyaksikan Brazil sudah melepasi 25,500 kematian.

Ketika kebanyakan negara di Asia masih mengadakan sekatan, namun beberapa negara Eropah dilapor mula melonggarkan perintah berkurung, semalam.

Perancis merancang membuka bar, restoran dan muzium, minggu depan namun, Perdana Menterinya Edouard Philippe hanya membenarkan kawasan luar tempat makan sahaja beroperasi untuk kurangkan risiko sebaran wabak.

Manakala, sesi persekolahan dan premis perniagaan di Britain sudah mula beroperasi, sementara Korea Selatan terpaksa menguatkuasakan semula sekatan, penutup tempat awam dan penjarakan sosial selepas muncul kluster baharu di Seoul.

Sri Lanka pula melaksanakan langkah penutupan selektif mulai Ahad ini bagi menyekat perhimpunan, susulan lonjakan kes jangkitan harian, kebanyakannya membabitkan rakyat yang pulang dari Kuwait minggu lalu.