Arab Saudi kembali ‘normal’ Ahad ini

Riyadh: Arab Saudi mula melonggarkan perintah kawalan di negara itu, mulai Ahad ini.

Aktiviti ekonomi dan sosial penduduk di semua kawasan akan kembali seperti sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di negara itu.

Bagaimanapun, arahan baharu itu tidak terpakai untuk Makkah yang masih dikenakan perintah sekatan.

Gulf News melaporkan, Menteri Kesihatan Tawfiq Fawzan Al Rabiah pada Isnin memaklumkan negara berkenaan sudah memulakan fasa baharu dalam usaha memerangi Covid-19.

Strategi barharu ini merangkumi sistem penjagaan kesihatan yang membabitkan kes kritikal dan polisi untuk memperluaskan pengesanan awal kes Covid-19.

Dengan jangkaan untuk kembali kepada kehidupan normal, penduduk Arab Saudi ini masih menanti perbezaan gaya hidup baharu dengan melakukan perubahan dari pelbagai aspek kehidupan seperti memakai pelitup muka dan mengambil suhu badan untuk masuk ke pasar raya, tempat kerja, restoran dan kawasan awam.

Sebagai tambahan, pekerja yang dipanggil semula bekerja tidak lagi menggunakan pengesan cap jari untuk merekodkan kehadiran dan mengguna pakai sistem cuti dan kehadiran yang fleksibel.

Ini sebagai langkah keselamatan bagi melindungi pekerja daripada terkena jangkitan wabak berkenaan ketika keluar dan masuk di premis pekerjaan kata Menteri Sumber Manusia, Ahmed Al Rajhi.

Langkah pencegahan fasa kedua untuk menangani Covid-19 di Makkah akan bermula Ahad ini dan solat Jumaat akan diteruskan di Masjidilharam di Makkah namun hanya dihadkan kepada imam dan pekerja masjid.

Sehingga kini, ibadah Umrah di Makkah dan lawatan di Masjid Nabawi di Madinah masih belum dibenarkan.

Kementerian Dalam Negeri juga sebelum ini memaklumkan sebarang keputusan akan dinilai semula Kementerian Kesihatan sama ada perlu melanjutkan langkah pencegahan berkaitan keperluan kesihatan.

tamat